Tips Pendidikan Seks Kepada Anak-anak

Generasi semakin berubah, era berkembang, teknologi semakin maju, idea semakin abstrak, pemikiran semakin kompleks. Dalam topik seksualiti, anak-anak kita AKAN mencari maklumat berkaitannya, with or without YOU! 

Kita harus menerima hakikat bahawa hal ini tidak dapat dibendung lagi, dan kita juga wajib menerima hakikat bahawa membendungnya selama ini pun sebenarnya adalah suatu kesilapan. Menahan generasi pelapis daripada mempelajari pendidikan seks adalah sangat tidak patut. Pendidikan seks bukan mengajar perbuatan tidak bermoral, tetapi ia mengajar menghormati fitrah kejadian manusia yang memang Allah ciptakan sedemikian rupa. 

Untuk belajar perbuatan yang baik, kita seharusnya mengenali sifat-sifat perbuatan baik.

Untuk belajar perbuatan yang buruk, kita  seharusnya mengenali sifat-sifat perbuatan buruk itu.

Untuk belajar perihal seks itu baik ataupun buruk, kita seharusnya mempelajari sifat-sifat seks dan seksualiti itu sendiri.

Seks diperlukan dalam hidup, ia adalah keperluan asas semua orang, dan ia adalah satu topik yang sensitif, maka kenapa tidak kita berikan didikan yang baik berkaitannya?

Sebagai ibu bapa, bagaimana harus saya mula mengajar pendidikan seks kepada anak?

Pertama perlu diingat, terlalu banyak maklumat berkaitan dunia seks, dan banyak yang dikongsikan daripada dunia barat juga, yang mana ada yang betul, dan ada yang terpesong. Contohnya idea berkaitan seks secara biologi dan seksualiti bagi dunia barat adalah dipisahkan dengan ketara. Bagi mereka, seks ialah biologi dan anatomi sama ada sebagai lelaki mahupun perempuan, manakala seksualiti ialah pemilihan peranan sama ada untuk berperanan sebagai lelaki ataupun perempuan. Bagi sebahagian daripada mereka, dilahirkan sebagai lelaki, anda masih boleh memilih sama ada untuk berperanan sebagai wanita dan juga sebaliknya. Ini adalah salah satu idea LGBT dan kepincangan fitrah yang sangat tidak masuk akal.

Jadi sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab, adalah amat penting untuk ibu bapa itu sendiri mempunyai pengetahuan asas, dan juga membetulkan pengetahuan sedia ada supaya tidak terasa kekok, tidak mengajar yang salah, dan tidak keterlaluan dalam mengajarkan pendidikan seks kepada anak. Pohonlah perlindungan dan panduan daripada Allah yang Maha Suci, supaya diluruskan niat, dipelihara daripada keburukan, dihindar daripada fitnah dunia dan fitnah dajjal. Doakan kebaikan sebagai natijah daripada usaha kecil yang kita jalankan ini demi kelestarian generasi pengganti di masa akan datang.

Pendidikan seks juga merupakan proses pendidikan seumur hidup. Ya, seumur hidup. Hatta sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin pun, masih perlu meneruskan penggalian ilmu berkaitan pendidikan seks baik untuk diri sendiri, mahu pun untuk diajar kepada anak cucu masing-masing.

Bila sepatutnya dimulakan mengajar pendidikan seks?

Proses pendidikan bukanlah semestinya rigid di atas kerusi bersama meja tulis menghadap papan putih atau papan hijau bertulisan kapur. Kemungkinan besar, anda sudah pun memulakan pendidikan seks kepada anak. Dengan menjadi model menunjukkan peranan sebagai ibu dan ayah juga termasuk dalam pendidikan seks. Cuma jangan hanya berhenti di situ. Ada perkara yang anda perlu slow talk dengan anak secara bersendirian, atau di meja makan. Ada yang anda perlu lukis, ada yang perlukan membaca buku bersama. Ia juga perlu bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak. Jika anda rasa anda memang belum mulai apa-apa, mulakan SEKARANG.

Di mana harus bermula?

Hakikatnya tiada peraturan khusus dalam mendidik anak-anak berkaitan ilmu seksologi. Cuma secara logik, topik apa pun, perlu mengikut tahap kefahaman anak sendiri. Mungkin pada usia lebih muda seawal umur 2-6 tahun, mereka lebih kepada sifat ingin tahu dalam mengenali anggota-anggota badan seperti mengenali hidung, siku, begitu juga mereka curious melihat kemaluan mereka. Ada beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa contohnya dalam kes ini, jangan berikan nama yang pelik-pelik untuk kemaluan mereka atas daras nak nampak comel-comel. Zakar namanya zakar, dan bukan burung atau punai atau lolipop atau aiskrim. Faraj namanya faraj dan bukannya bunga atau apam atau karipap atau poen atau cipap dan sebagainya. 

Penggunaan bahan bahan bacaan seperti buku yang menarik dan mudah difahami kanak-kanak akan lebih memudahkan pemahaman mereka. Antara contoh buku boleh dapatkan di sini https://shope.ee/40GT8uK1my.

Bagi anak yang lebih besar, mungkin yang berumur 7-12 tahun sudah boleh berbincang perihal berkaitan seks yang lebih kompleks seperti proses kejadian kandungan ibu, hubungan lelaki dan perempuan, soal akil baligh, darah haid, perasaan suka antara lelaki dan perempuan. Pada masa yang sama, penekanan tentang anggota seks di tubuh badan masih perlu diperkukuhkan dengan peringatan tentang ia boleh menimbulkan rangsangan seks (mengikut kesesuaian dan kefahaman umurnya). Di sini kita sudah mula boleh perkenalkan konsep sentuhan selamat, sentuhan tidak selamat dan sentuhan yang tidak perlu. 

Bagi remaja berusia antara 13-17 tahun pula, mungkin kita akan merasakan lebih mudah tetapi hakikatnya ia agak kompleks jika tidak ditangani dengan baik. Di samping ilmu biologi yang lebih mendalam untuk mereka pelajari, mereka akan turut mengeksplorasi unsur yang berkait rapat dengan permasalahan kesihatan seks iaitu emosi dan perasaan mereka sendiri. Bukan itu sahaja, kita harus sedar hakikat hidup mereka yang dikelilingi oleh rakan-rakan sebaya daripada jantina berlawanan. Untuk tambah mengelirukan keadaan, walaupun ada sesetengah daripada anak kita yang bersekolah di sekolah satu jantina, kewujudan kegilaan homoseksual atau mereka yang suka sesama jantina tidak boleh dipandang enteng. 

Mungkin dari aspek pengetahuan biologi ada diterapkan di dalam silibus pembelajaran sedia ada di sekolah menengah. Namun jika mereka tidak pernah mendapat pendedahan dari usia lebih awal, ia boleh menjadi kekok kerana mental barrier yang terbina di dalam otak mereka kesan daripada perkembangan minda mereka dalam budaya kita sebagai masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang mana tajuk pendidikan seks adalah sangat sangat taboo. Peranan ibu bapa di sini adalah sangat penting untuk sentiasa menyemak pemahaman mereka untuk memastikan mendapat ilmu yang betul sebelum mereka meningkat dewasa dan menempuh alam rumahtangga. Jangan terkejut, ada di kalangan rakan pengamal perubatan saya sendiri yang berpengalaman terjumpa pesakit yang pernah menyetubuhi isterinya melalui lubang yang salah iaitu melalui lubang kencing (urethra) dan bukan melalui faraj!

Selain ilmu biologi tentang anggota organ reproduktif dan fungsinya, hal-hal berkaitan seperti konsep merancang kehamilan, perihal penyakit kelamin, hukum hakam agama berkaitan hal jima’ dan munakahat sudah mesti mula diajarkan kepada mereka juga. Ia tidak terlalu awal kerana secara fitrahnya, umur remaja adalah umur akil baligh. Seperti ilmu solat, ia perlu diajar seawal umur 7 tahun walaupun ia hanya jatuh wajib apabila mereka mencecah akil baligh. 

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu mula menerapkan kepentingan mengurus emosi dan perasaan. Perasaan suka kepada rakan sebaya, mula memiliki crush, berminat dan tertarik kepada rakan berlawanan jantina adalah NORMAL. Jangan didosakan anak-anak kita yang tidak tahu apa-apa, ini hanya akan meninggalkan kesan negatif jangka panjang dalam diri mereka yang hanya akan timbul sebaik mereka mencecah usia bersedia untuk berumahtangga nanti. 

Saya tahu, ramai ibu bapa yang menggunakan pendekatan terlalu berkeras dalam hal ini. Bagi mereka agama kita melarang apa sahaja bentuk hubungan lelaki dan perempuan. Ya ia benar, kita tidak mahu terlalu membenarkan perkara ini berlarutan sehingga boleh berlaku percampuran tanpa batasan antara lelaki dan perempuan yang juga disebut sebagai ikhtilat. Pada masa yang sama, ada juga ibu bapa yang terlalu berlembut membiarkan sahaja anak mencuba dan meneroka sendiri sehingga terjadilah pelanggaran batas, terlanjur, tersilap, dan seberapa banyak ter lagi sehingga tiada lagi bergunanya terungkap penyesalan di kemudian hari. Terlalu berkeras juga salah, terlalu berlembut juga salah.

Maka carilah titik keseimbangan di antara keduanya, dengan melengkapkan diri kita dan anak-anak dengan ilmu pendidikan seks berpandukan syarak dan juga disiplin ilmu psikologi dan biologi. 

Jadi apa perlu dilakukan sekarang?

Mulakan dengan menambah kefahaman diri sendiri terlebih dahulu. Apa yang kita ketahui dan yakini selama ini mungkin bukan yang paling sesuai Quran dan Sunnah, atau mungkin juga tersalah tafsir Quran dan Sunnah lalu memaksa mengubah fitrah anak-anak untuk menerima buta-buta ajaran salah sebagai orang tua. Tambahkan bacaan, belajar tadabbur dan tazakkur Quran, ikuti kuliah hadis, bertanya para ustaz bertauliah, hormati pandangan ahli akademik, hormati disiplin ilmu ahli psikologi untuk memahami psikologi anak-anak. Apa yang pasti, Allah tidak menurunkan syariat agamanya bertentangan dengan fitrah manusiawi. Allah juga menghantar Nabi Muhammad sebagai pemimpin umat untuk menunjukkan ketaqwaan menuruti syariat itu tidak perlu melampaui batas atau berlebih-lebihan sehingga melanggar fitrah.

Semoga diizinkan Allah untuk blog ini berterusan berkongsi kandungan ilmiah dan mendidik umat. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *