Skrip Jawapan Soalan-soalan Panas Daripada Anak

Bila tiba saatnya, anak mula curious dan bertanya pelbagai soalan panas berkaitan ilmu seks. Kalau yang masih kecil, mungkin kita boleh handle lagi kerana mungkin soalan beginner level ni belum betul-betul mencabar. Mungkin budak perempuan umur 5 tahun cuma hairan kenapa kemaluannya dan kemaluan adik lelaki umur 2 tahun nampak berbeza. Masih belum ada soalan abstrak berkaitan tarikan, perasaan, proses mengandung dan kelahiran. Semakin anak membesar, semakin abstrak dan kompleks perasaan ingin tahu mereka. Saya cuba senaraikan sebanyak mungkin skrip jawapan bagi soalan-soalan cepumas yang selalunya banyak diabaikan oleh orang tua, lalu apabila si anak mencari jawapan sendiri di laman-laman porno atau daripada kawan-kawan yang sama tidak matang, mata kita mengamuk meratap apa sudah jadi dengan dunia.

Dari mana baby datang? Macamana boleh ada dalam perut mama? 

Baby mula dalam perut mama bila benih ayah masuk dalam rahim mama. Proses ni nama dia persenyawaan. Ini salah satu tanda kuasa Allah. Allah sebut dalam wahyu pertama, surah Al-Alaq ayat 2, Allah cipta manusia daripada seketul darah. Bila benih masuk tu, dia mula-mula jadi darah, besar-besar jadi baby, sampai cukup masa dia pun keluar. Nanti bila (nama anak) dah besar sikit, mama / papa / umi / abi cerita pula macam macam benih tu boleh pergi daripada ayah kepada mama ya.

Kenapa boy dengan girl tak sama dekat kencing dia? Kenapa punggung perempuan ada kat depan?

Dalam dunia ni manusia ada 2 jenis saja. Lelaki, dengan perempuan. Allah kata dalam quran surah Al-Hujurat:13, ..sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada lelaki dan wanita.. (bagi saya, introduce ayat quran kepada kanak-kanak kecil tidak salah, kerana kita perkenalkan tentang ketuhanan, ia tidak mengelirukan, tidak kompleks). Lelaki dan wanita boleh dibezakan daripada anggota badan, salah-satunya kemaluan. Kemaluan lelaki dipanggil zakar, kemaluan perempuan dipanggil faraj. Ia ada fungsi tertentu yang berbeza, ia juga boleh berfungsi dengan sama untuk mengeluarkan air kencing. Zakar dengan faraj ni ialah aurat, maksudnya kena tutup, orang lain tak boleh tengok, orang lain tak boleh sentuh, ibu ayah pun tak boleh tengok/sentuh suka-suka. 

Baby keluar dari perut mama macamana?

Baby dalam perut mama duduk dalam rahim. Bila sampai masa, baby dah cukup besar, baby kena keluar untuk hidup dalam dunia pula, dia keluar melalui faraj. Semua perempuan ada faraj, lelaki tak ada. Ketika baby perlu keluar nanti, faraj mama akan terbuka untuk muat kepala dan badan baby, tapi kadang-kadang ada benda-benda bahaya boleh jadi, sebab tu kena pergi hospital. Masa tu rahim tempat baby duduk tadi akan kecut sebab dia nak tekan baby keluar, sebab dia tak pandai nak keluar sendiri guna tangan kaki dia.

Apa maksud keluar air mani?

Keluar air mani biasanya jadi pada lelaki. Pada badan lelaki, kemaluan dia nama dia zakar, dan bawah zakar tu ada kantung yang ada kilang telur dalam tu, nama dia testis. Testis ni akan hasilkan benih untuk jadi anak, jadi benih ni akan keluar daripada lelaki dalam bentuk air mani, untuk dihantar pada ibu yang akan mengandung tu. Kadang-kadang air mani boleh keluar sendiri contohnya bila budak lelaki mimpi yang mengghairahkan, kita panggil mimpi basah, jadi air mani boleh keluar semasa tidur. Air mani boleh keluar juga kalau zakar dirangsang dengan tangan, nama dia onani, tapi perbuatan ni berdosa, Allah marah. 

Persetubuhan tu apa?

Persetubuhan ialah proses pindah benih lelaki kepada perempuan, macam ayah kepada ibu. Persetubuhan cuma boleh dibuat oleh orang yang dah kahwin sahaja. Semasa persetubuhan, benih ayah (kalau dah pernah introduce tentang air mani, boleh terus cakap air mani sahaja) akan masuk dalam rahim dan baby akan membesar dalam perut ibu. 

Budak tu comel / lawa / hensem la, nak kahwin dengan dia boleh tak mama? Kenapa tak boleh?

Apa yang kakak / abang / adik / (nama anak) rasa ni normal. Nama dia tarikan perasaan. Orang lelaki, bila dah makin membesar, akan rasa tarikan pada perempuan. Perempuan pun sama, bila semakin membesar akan ada rasa tarikan pada lelaki. Allah dah cipta biologi manusia sebegini sebab nak suruh kahwin. Tapi kalau nak kahwin, kena cukup syarat dulu. Kena dah besar, dah matang, otak dah cerdik, dah faham agama, boleh didik agama, boleh jaga keluarga, baru boleh kahwin, kalau tak jadi zalim, nanti berdosa. Jadi kalau ada rasa suka kat kawan / boy / girl lagi, beritahu papa / mama, jangan sorok-sorok ya.

Baligh tu apa?

Baligh ni ialah bila sampai masa kita dah cukup matang untuk jadi wajib buat ibadah tertentu yang Allah suruh. Contohnya solat, kalau belum baligh, tak wajib, lepas dah baligh, jadi wajib. Wajib maknanya kalau buat pahalanya besar, kalau tinggal dosa pun besar juga. Baligh ni ada tanda dia. Kalau lelaki, keluar air mani, kalau perempuan, datang darah haid.

Darah haid tu apa? Kenapa ada kawan-kawan keluar darah dari po’en / bunga / apam / karipap dia?

Nama dia darah haid. Darah haid ni ialah kandungan dalam rahim yang jatuh bila tak jadi baby. Setiap bulan, orang perempuan akan ada telur di dalam rahim, telur ni akan bersedia untuk jadi baby, antara persediaan dia ialah, lapisan rahim kena jadi tebal sebab baby akan bertempel atas tu. Bila tiada baby, maka lapisan ni akan jatuh, jadi darah haid. Darah haid ni normal, bukan bermaksud perempuan tu ada salah apa-apa, dan Allah bagi cuti daripada ibadah. Cuti dia sendiri tu suatu ibadah dan boleh dapat pahala dah untuk dia.

Kenapa burung / punai / konek jadi keras pagi-pagi?

Burung / punai / konek tu ialah kemaluan lelaki, nama betul dia ialah zakar. Sebagai orang lelaki, ada kimia dalam darah yang jadikan dia lelaki. Nama dia hormon testosteron. Pagi-pagi biasanya kimia ni tinggi, jadi zakar akan menegang dan jadi keras, sebab banyak darah mengalir masuk zakar. 

Kalau diperhatikan, semua pertanyaan anak kecil ini sebenarnya memang valid kerana semuanya memang boleh mendatangkan perasaan ingin tahu. Walaupun kita sudah dewasa, masih ramai yang tidak tahu pun proses di belakang semua soalan yang ditanya ini. Selalunya, kebodohan dengan tidak mengetahui penjelasannya menyebabkan kita malu sendiri lalu menghalau anak-anak yang datang dengan soalan ini. Paling baik pun tidak lah halau, tetapi buat tak tahu dan buat-buat lupa, atau just jawab “Alah nanti kau besar kau tau la tu kenapa.”

Antara kesilapan orang dewasa dalam menjawab soalan-soalan begini ialah:

1. Merasakan soalan begini tidak patut ditanya lalu dimarahi budak-budak.

2. Melucahkan topik-topik begini lalu diherdik budak-budak.

3. Tidak tahu jawapan sebenar lalu dihalau budak-budak.

4. Merasakan berdosa untuk bercakap topik-topik begini lalu dileter budak-budak.

Takrif dan maksud faraj / farju.

Jika anda perhatikan juga, semua istilah-istilah termasuk dalam menamakan anggota-anggota organ seks seperti alat kelamin sepatutnya digunakan dengan jelas seperti zakar, faraj, buah dada supaya anak-anak tidak mendapat idea yang salah tentangnya. Tidak perlu berasa nama panggilan tersebut sebagai lucah kerana ia adalah nama. Lagi kan di dalam Al-Quran merujuk kepada kemaluan sebagai ‘furuj’ iaitu kata jamak (plural) kepada ‘farj’ yang bermaksud celah antara dua sisi.

Semoga kita dijauhkan daripada sifat memperbodohkan anak-anak kita sendiri lalu kehairanan mengapa wujudnya generasi yang bodoh selepas kita sedangkan kitalah yang melahirkan dan mendidik mereka dengan kebodohan sedemikian rupa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *