SEKS itu cinta, cinta itu seks

SEKS ITU CINTA, CINTA ITU SEKS

Ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Saya sendiri pun tidak 100% setuju dengan kenyataan ini. Ia tidak tepat jika tidak disebutkan di dalam konteks yang betul. Bak kata Dr Gary Chapman, penulis buku tentang 5 Bahasa Cinta (The FIve Love Language) yang membantu banyak pasangan memahami cinta pasangan masing-masing, cinta ialah suatu perkataan yang penting dan sesuatu yang paling sukar difahami. 

Anda boleh dapatkan buku tersebut di sini https://amzn.to/47IoFzf untuk bacaan lanjut.

Ia suatu perkataan yang digunakan untuk menerangkan pelbagai tujuan. Dengan cinta, manusia mampu melakukan 1001 perkara yang dilihat mustahil dan tidak masuk akal. Dan tanpa cinta, walau seringkas perkara tidak mampu terlaksana. Seseorang boleh katakan “Saya cintakan keamanan” dan boleh juga mengatakan “Saya cintakan keluarga saya” dan keduanya mempunyai maksud yang berbeza sekalipun perkataan cinta menjadi deskripsi tentang ‘saya’. Orang yang sama boleh mencintai ibu dan kakaknya dan juga mencintai kekasih buah hatinya, sekali lagi walaupun perkataan cinta wujud di situ, namun ia percintaan yang berbeza sama sekali. 

Seorang lelaki boleh jadi meniduri pasangannya yang belum dinikahi dan pasangannya juga mungkin merelakan dirinya diratah di ranjang dan keduanya menggelarkannya sebagai cinta, namun di mata seorang pegawai jabatan agama ia dipanggil nafsu syahwat dan dosa. Begitu juga sepasang ibu bapa yang memberikan segala kemewahan material kepada anaknya atas nama kasih sayang dan cinta, manakala dalam situasi yang sama seorang ahli psikologi mungkin melabelnya sebagai tidak bertanggungjawab. 

Seorang suami selalu merasakan isteri yang menolak ajakan seksnya tidak mencintainya sedangkan kebanyakan isteri merasakan suaminya kurang mencintainya sehingga kurang mood dan terasa tiada makna dalam memenuhi ajakan seks suaminya. 

Cinta ialah seks. Di mana betulnya? Di mana pula silapnya kenyataan terlalu simplistik in?

Ringkasnya, cinta bukanlah 100% seks. Ringkasnya lagi, cinta tidak lengkap tanpa bahan utama iaitu seks. Dan cinta yang kita bincangkan ini ialah cinta di dalam konteks seorang lelaki kepada wanita yang boleh dikahwini. Boleh jadi ia cinta seorang remaja lelaki kepada remaja perempuan dalam kelas di sekolahnya. Boleh jadi ia cinta seorang lelaki pekerja pejabat kepada rakan sekerjanya di pejabat yang sama. Boleh jadi cinta mula berputik daripada seorang pelanggan bank kepada penjaga kaunter di bank yang dilawatinya setiap hari. Boleh jadi cinta hadir kepada seorang pensyarah universiti kepada pelajarnya yang dilihatnya dan berurusan setiap hari. 

Mungkin ada yang tidak bersetuju bila ini dikatakan cinta. Ya anda benar. Tetapi saya tidak salah.

Dalam konteks ini, perasaan cinta ini dimulakan dengan tarikan antara seorang lelaki kepada wanita. Ini biologi. Ini fitrah. Ini sunnatullah. Ketetapan Allah. Tarikan akan berlaku. Tarikan ini seksual. Seksual yang dimaksudkan bukanlah bererti terangsangnya organ seksual tetapi lebih kepada bermaksud tarikan itu wujud kerana nature tarikan antara perbezaan jantina. Jantina ini dibezakan oleh perbezaan organ seks antara zakar dan faraj (dan buah dada / payudara). Saya tidak sentuh dahulu topik percintaan di luar tabi’ie antara sesama jantina kerana itu terkeluar fitrah dan selayaknya dilabel sebagai masalah mental..

Secara agama dan spiritual, cinta tarikan seksual begini dinamakan nafsu syahwat. Nafsu syahwat tidak mengenal hukum hakam. Ia benar-benar berpandukan perasaan. Bukan itu sahaja, ada syaitan yang berusaha menunggang nafsu ini supaya sentiasa terkeluar landasan syarak dan membawa kepada menjauhi tuhan. 

Cinta antara kedua jantina yang boleh berkahwin dimulakan dengan tarikan. Tarikan biologi ini bertujuan memenuhi keperluan biologi dua makhluk untuk memastikan penerusan keturunan melalui hubungan seks. Dalam konteks ini, CINTA ITU SEKS. Akan tetapi, melihat dari sudut psikologi dan emosi pula, cinta bukanlah sekadar seks.

Secara ringkasnya (lagi), cinta ialah perasaan kasih sayang. Perasaan ialah suatu makhluk yang kompleks, abstrak, subjektif dan tidak mempunyai rupa, tidak boleh dilihat tetapi mempunyai impak yang kuat dalam urusan kita seharian. Banyak perkara dipengaruhi oleh emosi mengatasi rasional. Contoh paling mudah ialah aktiviti pemasaran. Kebanyakan strategi pemasaran dibuat dengan menjentik emosi dan bukannya dengan ciri-ciri fizikal produk. Orang tertarik menggunakan iPhone kerana ia menaikkan status gaya hidup kepada satu penanda aras yang baru. Manusia berpusu-pusu beratur di kedai yang viral kerana takut tertinggal kereta api daripada trend semasa. Perasaan seseorang untuk menjalani program kurus kerana malu dilihat gemuk adalah lebih besar daripada keinginan untuk menjalankan gaya hidup sihat.

Cinta ialah salah satu daripada emosi ini yang menjadikan hidup kita resah dan kekosongan tanpanya. Namun ramai antara kita yang tidak memahami kekosongan jiwa daripada cinta lantas cuba menggantikannya dengan sesuatu yang lain. 

Dr Gary Chapman menyifatkan setiap individu mempunyai tangki emosi yang perlu dipenuhi. Jika tangki ini dipenuhi dengan cinta yang mencukupi, hidup akan menjadi mudah, everything falls in its place. Jika tidak, semua akan serba tak kena, semua asyik salah saja. Cinta bagi memenuhi tangki ini bukanlah seks. Seks ialah salah satu aktiviti bagi memenuhi tangki ini. namun bagi sesetengah orang, hanya setelah tangki ini dipenuhi barulah seks dapat terlaksana. Menakjubkan bukan?

Apa ni, tulis panjang-panjang belit-belit makin pening ada lah.

Baik, mari kita simpulkan isinya kepada 3 perkara utama.

1) Konteks cinta dan seks yang dibicarakan ialah antara lelaki dan wanita yang boleh berkahwin sahaja.

2) Cinta ialah seks dalam erti kata keperluan biologi antara lelaki dan wanita yang bermula dengan tarikan antara satu sama lain bagi menuju keinginan fitrah mendapatkan zuriat dan keturunan.

3) Seks ialah kaedah penting untuk memupuk dan menyemai cinta. Pada masa yang sama, cinta perlu memenuhi tangki emosi untuk memastikan aktiviti seks berlaku.

Ini bermakna, secara fitrah biologi, manusia akan merasa kekosongan tanpa aktiviti seks di dalam kisah cinta mereka.

Secara psikologi pula, seks akan terhasil kesan daripada kisah cinta yang sempurna antara sepasang lelaki dan wanita yang dalam lamunan.

Jadi saya masih lebih cenderung mengatakan, SEKS ITU CINTA, dan CINTA ITU SEKS.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *