Tips Mandi Wajib Mengikut Sunnah

Mandi wajib, atau mandi junub, atau mengangkat hadas besar, ialah ibadah.

Bila namanya ibadah, ia adalah perkara yang datang dengan petunjuk atau dalil, daripada orang yang mendatangkan agama itu sendiri, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Ini bermakna, melakukannya adalah ketaatan, melakukan ketaatan ialah suatu kebaikan dan mendapat ganjaran di sisi Allah.

Dari sisi disiplin ilmu Fiqh, mandi junub ada 2 sahaja syarat minimum, iaitu:

1) Niat

2) Meratakan air ke seluruh badan

Ini adalah berdasarkan perbahasan para ulama seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وَأَقَلُّهُ نِيَّةُ رَفْعِ جَنَابَةٍ أَوْ اسْتِبَاحَةِ مَفْتَقِرٍ إَلَيْهِ أَوْ أَدَاءِ فَرْضِ الْغَسْلِ مَقْرُونَةً بِأَوَّلِ فَرْضٍ وَتَعْمِيمُ شَعْرِهِ وَبَشَرِهِ.

Maksudnya: Sekurang-kurang untuk (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.

[Rujuk Minhaj al-Tolibin: 1/14]

Cukup syarat yang dua ini, maknanya sah mandi wajib kita. Tak kira lah mandi tu terjun kolam ke, masuk bath tub ke, guna pancuran air ke, mula dari kaki ke, guna sabun ke, asalkan wujud niat, diikuti air yang diratakan ke seluruh tubuh, maknanya selesai.

==================================

Namun begitu, untuk menzahirkan kecintaan kita sebagai umat Nabi Muhammad penutup segala anbiya’, menghidupkan sunnah baginda di akhir zaman di mana sunnah semakin dilupai, adalah suatu ibadah sendiri. Moga-moga dengan berusaha menghidupkan sunnah, ia boleh menjadi amalan untuk bersaksi tentang kecintaan kita kepada baginda Rasul di hari pembalasan kelak. Cara menghidupkan sunnah ialah, dengan cuba sedaya upaya menunaikan atau menjalankan apa jua ibadah, termasuk mandi junub, mengikut cara exactly sebagaimana cara yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, step by step.

==================================

Cara mandi wajib mengikut sunnah adalah seperti berikut:

1) Niat mandi junub (cukup dalam hati)

2) Mencuci kedua tangan

3) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

4) Menggosokkan tangan ke tanah/dinding/sabun

5) Berwudhu sebagaimana berwudhu hendak shalat

6) Menyela-nyela rambut dengan jari hingga kulit kepala basah

7) Menyiram kepala tiga kali

8) Menyiram seluruh tubuh dengan mendahulukan yang kanan

9) Tidak perlu berwudhu lagi setelahnya

Di mana rujukan step by step secara terperinci ini? Ini berdasarkan 2 hadis daripada Aisyah dan juga Maimunah Radhiallahu ‘anhuma.

Hadis daripada ‘Aisyah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.

(HR. Bukhari no. 248 dan Muslim no. 316)

Hadis daripada Maimunah R.A:

حَدَّثَنَا هَنَّادٌ قَالَ: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ الأَعْمَشِ، عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبيِ الجَعْدِ،عَنْ كُرَيْبٍ، عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنْ خَالَتِهِ مَيْمُونَةَ، قَالَتْ: وَضَعْتُ للِنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غُسْلاً, فَاغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، فَأَكْفَأَ الإِنَاءَ بِشِمَالِهِ عَلَى يَمِينِهِ، فَغَسَلَ كَفَّيْهِ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِي الإِنَاءِ فَأَفَاضَ عَلَى فَرْجِهِ، ثُمَّ دَلَكَ بِيَدِهِ الحَائِطَ، أَوِ الأَرْضَ، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ، وَغَسَلَ وَجْهَهُ وَذِرَاعَيْهِ، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثًا، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِه،ِ ثُمَّ تَنَحَّى فَغَسَلَ رِجْلَيْهِ ، هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ، وَفِي البَابِ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، وَجَابٍ، وَأَبيِ سَعِيدٍ، وَجُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ، وَأَبيِ هُرَيْرَةَ.

Maksudnya: Daripada Ibn ‘Abbas daripada ibu saudaranya, Maimunah katanya: Aku meletakkan air mandi untuk Nabi SAW, lalu baginda mandi junub. Maka,Nabi SAW memiringkan bekas air yang berada di tangan kirinya ke atas tangan kanannya, lalu baginda mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Nabi SAW memasukkan tangannya ke dalam bekas air dan mencurahkan air ke kemaluannya, kemudian, Nabi SAW menggosokkan tangannya ke dinding atau ke tanah. Kemudian baginda berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung, membasuh muka dan kedua-dua tangannya. Kemudian menuang air ke atas kepalanya tiga kali, setelah itu Nabi SAW menyiram seluruh tubuhnya, kemudian bergerak (berpindah tempat), lalu membasuh kedua-dua kakinya.

(Sunan At-Tirmidzi no. 103, Bab Mandi Junub)

Maka dengan itu sempurnalah penyucian diri setelah berjunub. Salah satu sebab perlunya mandi junub ialah setelah melakukan jimak atau persetubuhan.Elakkanlah perasaan malu untuk mandi junub di depan ahli keluarga lain sehingga tidak mahu menyetubuhi isteri atau suami sendiri kerana itu hanyalah hal kecil sahaja, sedangkan menyetubuhi pasangan adalah ganjaran yang sangat besar di sisi Allah.

Wallahua’lam.

P/S: Untuk bahan bacaan terjemahan koleksi hadis Sahih Muslim, boleh dapatkan di sini: https://shope.ee/B3xZGebqs

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *